Aku menghulurkan sehelai saputangan kepadanya. Saputangan berwarna biru, berkotak-kotak putih.Aku sendiri sudah lupa bila ia kuselitkan di poket belakang seluarku, yang pasti saputangan itu masih bersih dari sebarang kotoran. Nazira menoleh ke arahku .Perlahan-lahan tangannya dihulurkan. Menerima saputangan itu lalu menyapu titisan-titisan airmatanya yang sudah lama merembes dan melumuri pipi gebunya. Walaupun aku tahu mata yang merembeskan airmata itu akan tetap bengkak untuk esok, untuk lusa dan mungkin untuk tahun-tahun seterusnya namun biarlah untuk sesaat saputangan itu menyentuh pipinya dan menemani kesedihan itu.Hanya itu yang termampu kubantu.
Aku masih termangu di sebelahnya. Di atas pangkin kayu yang panjang , berasak-asak dengan pelawat-pelawat yang lain. Wajah-wajah muram mereka menghibakan hatiku. Masing-masing terus hanyut dengan perasaan. Titis-titis airmata yang bergenang menyedarkan aku betapa insan ini amat disayangi. Masing-masing terus menanti. Menanti dan menanti bersama bisikan doa dan harapan.
Airmata Nazira masih terus-terusan mengalir. Walau esaknya sudah tidak kedengaran namun airmata itu tetap tidak berhenti. Aku tidak mampu menegah. Suaraku jadi bisu. Tanganku jadi kaku.Sinar matanya turut hilang. Pandangannya lurus dan kabur. Aku tahu semangatnya telah hilang. Dan dengan hilangnya semangat itu, hilang jua semangatku.
****
Jam hampir pukul 8 malam. Seorang lelaki menjinjing beg kecil melangkah laju menuju ke sebuah gelanggang Futsal. Rakan-rakannya telah ramai yang mula tiba. Dia sedaya upaya untuk tiba secepatnya dari tempat kerja. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Satu suara yang sangat dikenalinya membuat dia tertoleh. Kehairanan melihat seorang gadis berlari-lari anak ke arahnya.
“Eh! Ira buat apa di sini?”
“Ira nak cakap dengan abang.”
“Kenapa tak telefon aje, ni datang jauh-jauh .Malam-malam pula tu.”
“Tak boleh bang! Ira kena jumpa abang juga.”
“Kenapa?Ada apa?”
“Bang, ….” Kata-kata Ira terhenti.
Airmata mula mengalir menuruni pipinya. Dia tunduk.Bahunya terhenggut-henggut cuba menahan tangis. Sazali masih memerhati. Lampu di luar gelanggang itu menjadi saksi airmata Nazira.Airmata yang mengalir dari sepasang mata yang dicintainya sepenuh hati. Sazali keresahan. Apakah yang membuat hati gadis kecintaannya terluka sebegini melainkan…Sazali sudah mengerti. Rambut lurus Ira yang melepasi bahu itu tidak mampu menyorokkan airmatanya. Apalagi kesedihan yang mula membangkitkan irama pilu.
Sazali terpaku. Airmatanya turut bergenang di kelopak mata. Ditahan sekuat jiwa .Terasa bumi yang dipijak menjadi bara. Hancur hati Nazira sehancur hatinya. Cinta mereka telah dinoktahkan akhirnya. Mereka berdua terpaku di situ.Sazali kehilangan kata-kata. Seolah jiwanya hilang tidak bertapak. Buntu.
“Ira….”
Keduanya tersentak dari lamunan masing-masing. Seolah jiwa mereka terhempas ke bumi semula. Nazira dan Sazali menoleh ke arah suara. Nazira mengundur ke belakang beberapa langkah merapati Sazali. Pertama kali aku melihat wajah Nazira pucat tidak berdarah. Matanya memohon simpati yang bukan kepalang, hatiku remuk.
“Tak elok menangis di sini…nanti orang kata apa pula. Mari kita berbincang baik-baik.” Kataku sesopan mungkin.
Harapanku agar Nazira tenang. Aku bertukar pandangan dengan Sazali. Lalu cuba melemparkan senyuman. Walau aku tahu senyumanku tidak manis tetapi cukuplah untuk membuat dia mengerti yang aku masih bersabar. Nazira dan Sazali berpandangan.
“Mari Nazira…,” kuhulurkan tanganku ke arah Nazira. Nazira menggeleng. Tubuhnya semakain merapati Sazali. Hatiku makin hancur. Namun aku masih boleh bersabar. Aku masih waras. Aku tidak mungkin memaksa Nazira.
“Ok, you follow saya..,” perintahku pada Sazali. Dia mengangguk. Sebagai lelaki dia harus berani menghadapi cabaran ini. Ternyata dia berani.
Aku tidak menoleh lagi.Langkahku deras ke arah keretaku . Dari cermin sisi aku melihat mereka berdua menaiki sebuah kereta Honda berwarna hitam. Aku hidupkan enjin lalu bergerak meninggalkan perkarangan Futsal itu. Tidak begitu laju, dengan harapan agar mereka dapat mengekori keretaku serapat mungkin. Aku mahu selesaikan segalanya malam ini. Aku menuju ke rumahku. Bagi aku itulah tempat yang terbaik untuk perbincangan yang pertama dan terakhir ini. Aku pasrah menerima apa sahaja yang bakal terjadi. Biarlah rumah yang kubina untuk Nazira ini menjadi saksi betapa aku dengan seluhurnya mencintai dia.
Di dalam kereta, Nazira dan Sazali masing-masing membisu. Masing-masing menyedari itulah saat-saat terakhir untuk mereka bersama. Cinta yang telah terjalin selama 3 tahun itu bakal dinoktahkan malam ini. Keduanya buntu. Segala impian.Segala harapan yang dibina hancur berkecai . Sazali masih termenung. Mulutnya bungkam, tak mampu bersuara. Yang berakhir akan tetap berakhir. Andai itu suratan, apalah lagi yang terdaya oleh mereka.
Sesekali matanya mengawasi kereta lelaki yang di hadapannya. Bimbang hilang jejak di dalam kepekatan malam. Sazali hanya mengekori kereta itu, seakan mengekori ke garis penamatnya kisah cintanya bersama Nazira.
Akhirnya mereka tiba jua di hadapan sebuah rumah banglo 3 tingkat. Buat seketika, Sazali terpegun. Dengan langkah yang berat Nazira dan Sazali melangkah keluar. Mengekori langkah ku memasuki rumah itu. Lampu kupasang dan kupersilakan kedua mereka masuk. Mereka berdua duduk bersebelahan di kerusi panjang dan aku duduk berseorangan berhadapan dengan mereka.
Rumah ini baru sebulan lalu kusiapkan. Kubina dengan segala perasaan cintaku pada Nazira. Gadis yang kuimpikan bakal menjadi permaisuriku di sini. Namun aku lupa bahawa tiada keindahan tanpa keikhlasan.
“Nama you…” aku mula menyoal Sazali.
“Sazali.” Ringkas. Aku mengangguk.
“Nama saya…”
“Badrul.” Jawab Sazali pantas.
Aku balas dengan senyum tawar. Mengerti bahawa Nazira pasti telah menceritakan segalanya tentang aku kepada Sazali. Aku menarik nafas panjang. Kedua tapak tanganku kusilangkan ke belakang.Aku renung siling di atas kepalaku. Lampu-lampu yang bergantungan seolah memandang ke arah aku. Nazira dan Sazali terus bungkam. Jadi akulah yang harus membuka mulut.
“Sazali, semalam…keluarga saya dan keluarga Ira telah menetapkan tarikh perkahwinan kami .”
Aku menjeling ke arah Nazira. Dia makin tunduk memandang lantai. Sazali masih membisu. Aku mula rimas. Aku tatap wajah mereka silih berganti. Wajah sepasang kekasih yang kebuntuan. Lalu aku bersuara.
“Tetapi apalah gunanya sebuah perkahwinan, jika dibina di atas airmata kamu Ira.” Ira tersentak bila kusebut namanya. Matanya yang redup itu menikam mataku. Aku lihat kebencian yang tidak bersuara. Seolah hatiku dimamah lumat. Aku tunduk. Tidakkah kau tahu Nazira? Hatiku lebih hancur melihat kau di sebelahnya?
“Oleh itu, saya telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Australia.”
Kata-kataku itu telah membuatkan Nazira sekali lagi tersentak, Sazali terkelip-kelip. Aku melemparkan senyuman kepada mereka silih berganti. Wajah Nazira yang ayu itu bertukar keliru. Baju kurung yang dipakai nya malam itu menyerlahkan wajah ayunya yang aku gilai saban waktu.
“Betul ke? Bagaimana dengan keluarga kita?”
Aku mengangguk yakin. Airmuka Nazira kulihat mula berubah. Lebih cerah. Lebih tenang. Dia menyelak rambut hitamnya kebelakang. Dia mula menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Lebih santai, seolah terlepas dari hukuman maut.
“Tiada jalan lain. Sebab itulah saya yang akan pergi. Dengan itu kamu berdua tidak akan dipersalahkan dalam soal ini. ” terangku semakin panjang lebar. Seolah rancangan itu sudah kususun berminggu yang lalu padahal baru saja terlintas dibenakku sebentar tadi. Nazira mula tersenyum tawar , wajahnya masih menunjukkan kekeliruan. Sazali juga semakin tenang. Seolah lehernya yang terjerut telah kembali dilepaskan.
“Kalau keluarga tanya macamana?”
“Ira jawab begini, katakan abang kembali ke Australia kerana mahu mengahwini kekasih abang di sana. Seorang perempuan Australia yang sedang hamil. Biarlah keluarga Ira marah pada abang. Abang akan tanggung kemarahan itu.” Ira mengangguk faham. Sazali berdiam diri. Entah apa yang difikir.
“Well..Sazali. Saya serahkan Ira kembali kembali kepada awak. Jangan sia-siakan. Saya doakan awak berdua happy ever after.” Kuucapkan doa untuk mereka. Sazali kulihat mula senyum semula. Nazira kembali tersipu-sipu. Alangkah indahnya jika senyuman itu untuk aku. Dadaku terasa sayu dan sempit menghembuskan doa itu. Ikhlaskah aku?
“Tunggu sebentar ya..” kataku sambil pantas berlari anak ke tingkat atas. Beberapa minit kemudian aku berlari turun ke ruang tamu. Sebuah kotak kecil tergenggam erat ditanganku.Kuhulurkan kepada Sazali.Sazali terpinga-pinga. Serentak dia cuba menolak.
“Nanti masa wedding, saya kan tak ada di sini, so saya hadiahkan ini dahulu kepada kamu berdua.” Kotak itu kuletakkan ke tapak tangan Sazali. Dia tersentak. Perlahan-lahan dibukanya. Sepasang cincin perkahwinan yang indah memnacarkan sinarnya, mereka berdua melemparkan senyum bahagia. Aku pun turut terpercik sinar kebahagian itu. Sesaat aku berharap agar akulah di tempat Sazali waktu itu.
Setelah mereka berdua meninggalkan rumahku. Aku menutup pintu rapat-rapat. Aku juga menutup semua lampu. Yang tinggal hanya jaluran cahaya dari lampu jalan yang mencuri-curi masuk dari celah langsir . Di dalam gelap itu aku duduk bersendirian di atas sofa . Airmataku akhirnya gugur. Airmata seorang lelaki yang tewas. Yang telah melepaskan gadis kecintaannya. Memang aku puas kerana telah menghadiahkan kebahagiaan buat Nazira namun sebagai manusia aku tetap menangisi kegagalanku waktu itu. Mengapa bukan aku yang dipilih Nazira…
“Aaaaaargh…”Aku jerit sekuat hati.
Suaraku bergema ke segenap ruang banglo itu. Aku lepaskan segala kehancuran hatiku. Aku ledakkan segala emosi yang tidak tertanggung lagi. Airmataku berhamburan. Aku menangis tersak-esak seperti budak kecil yang kehilangan ibu. Sesungguhnya aku kehilangan cintaku saat itu. Ya, aku yang mencintai Nazira sejak mataku menatap wajahnya.
Mengapakah aku jatuh cinta. Mengapakah aku bermimpi untuk menjadi raja di singgahsana yang kubina ini dan bermimpikan Nazira menjadi permaisuri? Setiap dinding rumah ini seolah mengejek-ejek aku.Seolah setiap lampu dan gambar-gambar di situ mentertawakan aku. Aku ingin memejamkan mata. Aku ingin lari. Aku ingin buta dan pekak. Airmataku terus saja berhamburan. Lama-kelamaan aku merasa seperti di awangan-awangan. Terapung. Hanyut…..
“Tit tut tit tut”
Kelopak mataku terasa sakit dan pedih. Puas kucuba membukanya namun terasa berat dan kesat. Tekakku terasa kering dan pedih. Bunyi telefon masih lagi menganggu telingaku. Tanganku teraba-raba mencari.Timbunan suratkhabar dan majalah yang berhamburan di atas meja menyukarkan aku mengesan dengan tepat kedudukannya.Dalam remang-remang cahaya aku cuba berdiri. Kepalaku berdenyut-denyut kesakitan. Telefon itu terus berbunyi-bunyi tanpa henti. Kepalaku terasa ingin pecah.
“Hello.” Suaraku terdengar garau dan kering.
“Abang Badrul…” Mataku terbuka luas. Suara itu mengejutkan aku dari keadaan separuh sedar. Suara Nazira yang separuh menjerit dan teresak-esak. Setiap ulas bicaranya sukar kufahami.
“Kenapa ni?” aku cuba menyusuri persoalan.
“Abang Sazali kemalangan…dia dekat hospital.” Aku terkejut. Aku tampar pipiku kuat-kuat. Betulkah apa yang aku dengar? Mungkinkah aku masih bermimpi. Aku rasa pipiku perit. Maka memang benar aku bukan bermimpi.
“Ira, Ira cuba bertenang dulu. Abang akan ke sana secepat mungkin.”
Aku menerkam ke suis lampu. Aku buka. Cahaya yang cerah tiba-tiba membuat mataku merasa amat silau. Aku menguis-nguis segala yang bertaburan di ruang itu. Mencari-cari kunci kereta. Akhirnya jumpa. Sepantas kilat aku menuju ke Hospital Besar. Terasa badanku menggigil. Doaku panjatkan agar Sazali selamat.Belum sempat aku keluar dari kereta, telefonku berdering lagi.
“Bang…abang Sazali dah tak ada!” Diiringi suara Ira yang teresak-esak di hujung telefon. Aku terpaku sebentar. Ira meminta aku terus ke bilik mayat, kerana dia ada di sana.
Apabila aku sampai, aku dengan mudah menemui Ira yang menangis bersendirian. Sanak saudara Sazali semakin ramai yang tiba . Semuanya berwajah sugul. Suasana sangat menghibakan. Rupanya Sazali kemalangan setelah menghantar Ira pulang malam itu. Kecederaannya amat parah.
Aku pandang wajah Ira. Ingin kusapu airmata itu. Ingin kutanggung kesedihan itu bersama. Menangislah di bahuku Ira…Namun aku sedar, aku hanya mampu menghulurkan saputangan. Hati Ira cuma satu dan sudah diberikan kepada Sazali. Masih mampukah aku memiliki hati itu? Saputangan yang kuhulurkan tadi masih digenggamannya. Aku hanya mengharap agar dia mengerti. Saputangan itu hanya mampu mengeringkan airmata di pipinya tetapi aku ada di sini untuk menoktahkan kesedihan itu. Berilah aku peluang Ira…simpanlah saputangan itu. Genggamlah sepuas hatimu…aku tunggu!
No comments:
Post a Comment
untuk itu kami sangat memerlukan partisipasi anda anda semua, dan layanan coment ini kami buka seluas luasnya